Dosa ialah balasan buruk kerana
melakukan larangan Allah SWT. dan meninggalkan suruhan-Nya Orang yang
akil baligh yang melanggar hukum Allah digelar ‘Asi.
Apabila
disebut dosa dan pahala, pasti kita semua maklum mengenainya. Sifirnya
mudah, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Namun ada juga
yang begitu skeptikal dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara yang
tidak nampak.
Atau tidak terasa apa-apa dengan dosa dan pahala
disebabkan dek terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata
manusia. Perkara sam’iyyatlah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala
bukan manusia yang tentukan! Memang benar, dosa pahala yang natijahnya sama ada neraka atau syurga, bukan manusia penentunya.
Manusia
masuk syurga bukan kerana amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar
sekali. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan pasti ada keseimbangannya.
Malam ada siangnya, hidup ada matinya, syurga ada lawannya iaitu neraka.
Begitulah juga ada perkara baik dan buruk yang menatijahkan pahala atau
dosa.
Contoh yang mudah, api sebagaimana yang kita tahu,
sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti
dalam kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja
Namrud. Sifat api yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran
diarahkan oleh Allah s.w.t agar ia menjadi sejuk, sebagaimana firman
Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 69, yang bermaksud, “Perintah kami
(Tuhan): Wahai api, sejuklah kamu dan selamatkan ke atas Ibrahim”.
Apapun, fitrah api itu masih kekal panas dan membakar sehinggalah ke
hari kiamat.
Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara
yang jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan
menatijahkan dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah pula akan
dihadiahi dengan pahala. Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke
neraka.
Namun ada pengecualiannya, sebab kita milik Allah dan
walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat
selagi nyawa belum sampai di halkum.
Sesungguhnya kehidupan
manusia di atas muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada dua perkara
tersebut. Segala tindak tanduk kita di dunia ini akan memanifestasikan
sama ada pahala atau dosa, sesuai dengan tujuan manusia itu dihidupkan
iaitu untuk beribadah kepada PenciptaNya. “Tidak Aku jadikan jin dan
manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (Az-Zaariyat:56)
Namun
demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan nilai dosa dan
pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara dosa
dilakukan secara berleluasa tanpa timbul perasaan takut di hati. Sebagai
contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa, namun ia
menjadi perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, zina, rasuah dan
bermacam-macam lagi.
Tidak terkecuali pergaulan bebas lelaki
wanita. Setiap kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar
berpasang-pasangan (bukan mahram pastinya) meraikan sambutan malam tahun
baru. Berpesta dari tengah malam hingga ke pagi.
Berkumpul
seawal sebelum maghrib dan pulang selepas matahari terbit. Solat entah
ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan
lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang telah digunakan
bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja pembersihan.
Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata, mereka
yang terlibat adalah anak-anak muda Islam.
Mengapa perkara dosa
begitu senang diterima? Adakah sebab ia menjadi perkara lazim yang
berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima pakai, maka ia tidak
lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak kenal yang mana
dikatakan dosa dan pahala?
Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda
sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Nawwas bin Sam’an, “Kebaikan adalah
peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati
sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya.” Manakala Wabisah bin Ma’bad pula menyatakan: Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah.
Kemudian
Baginda bertanya kepada saya, “Saudara datang ini, hendak bertanya
tentang kebaikankah?” Saya menjawab, “Benar”. Lantas baginda berkata,
“Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan itu adalah perkara yang
apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara akan berasa tenang.
Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka
memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara rasakan
itu.
Manakala kejahatan dan dosa itu pula adalah perkara yang
apabila saudara lakukan, jiwa saudara tidak tenang dan saudara berasa
teragak-agak dan risau di dalam hati. Walaupun saudara bertanya
berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang
berbeza dengan apa yang saudara rasakan itu.”
Amatlah malang,
kalau kita tidak dapat lagi merasakan getaran kerisauan dalam hati
sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda s.a.w kerana ia adalah petanda
bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik hitam telah
menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik. Justeru
bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi
penggerak sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan, jika hati sudah
tidak lagi boleh memberi penilaian kudusnya.
“Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat.” (Hadith riwayat Imam Tirmidzi)
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak bertaubat.”(Hadith riwayat Imam Ahmad
Benar sekali tinta alim ulama, jika dosa itu berbau , nescaya kita tak
mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuh dikesani orang kerana
dosa-dosa.. ALhamdulillah Allah telah menutup aib dan dosa hambaNya
didunia.. Fikir-fikir dalam diri…
No comments:
Post a Comment